PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengunjungi Pejabat Kedutaan Azerbaijan di Kuala Lumpur hari ini bagi menyampaikan ucapan takziah atas tragedi pesawat Azerbaijan Airlines terhempas dua hari lalu.
Mohamad berkata, beliau pada kunjungan itu menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam daripada kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Azerbaijan serta keluarga mangsa terlibat.
“Kerajaan Malaysia mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.
“Malaysia mengulangi komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan Azerbaijan dalam menghadapi cabaran bersama di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seramai 29 orang terselamat selepas sebuah pesawat Azerbaijan Airlines terbakar ketika ia terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan, selepas dilencongkan beratus-ratus kilometer dari laluan yang sepatutnya.
Penerbangan itu membawa 62 penumpang dan lima anak kapal, dengan 38 terbunuh dalam nahas tersebut, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev. – KOSMO! ONLINE