KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa sedih diatas kematian bekas Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh pada usia 92 tahun semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Manmohan menawarkan banyak bantuan kepadanya termasuk biasiswa pendidikan buat anak-anaknya ketika beliau dipenjarakan.
“Tidak ramai tahu perkara ini dan sudah tiba masanya saya berkongsi dengan rakyat Malaysia. Selama bertahun-tahun saya dipenjarakan, mendiang memberikan kebaikan yang tidak perlu beliau lakukan dan tidak memberi manfaat kepada politik beliau apatah lagi untuk dihargai oleh kerajaan Malaysia ketika itu.
“Namun sesuai dengan wataknya, beliau tetap melakukannya. Beliau menawarkan biasiswa untuk anak-anak saya terutama Ihsan. Walaupun saya menolak tawaran itu, isyarat seperti itu menunjukkan sifat kemanusiaan dan kemurahan hatinya yang luar biasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, beliau mengenali Manmohan ketika kedua-dua mereka menyandang jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an.
Kata beliau, sebagai Perdana Menteri, Manmohan adalah bidan kemunculan India sebagai salah satu gergasi ekonomi dunia.
Justeru, katanya, berita pemergian Manmohan sebagai sahabat yang dihormati dan disayangi merupakan kesedihan yang berat perlu ditanggung beliau.
“Obituari, esei dan buku pastinya banyak tentang lelaki hebat ini, meraikannya sebagai arkitek reformasi ekonomi India. Perbuatan dan kemurahan hati Manmohan akan kekal terukir dalam hati saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE