KUALA LUMPUR – Luluh hati seorang ibu apabila anak lelaki sulungnya dipukul, diseksa sehingga kurus kering oleh sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja sejak 24 Oktober lalu.
Menurut ibu mangsa yang ingin dikenali sebagai Ng, 60, anak yang dikenali sebagai Goh,38, ditawarkan pekerjaan oleh sindiket berkenaan sebagai pemandu di negara tersebut dengan gaji sebanyak AS$ 5,000 (22,398.75) sebulan.
“Anak saya diajak oleh seorang kawan dari Malaysia untuk bekerja sebagai pemandu di sana tetapi malanganya dia tertipu dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dan dipukul serta dseksa sekiranya tidak mencapai sasaran.
“Pemergiaannya ke Kemboja tanpa pengetahuan keluarga sehinggalah saya menerima panggilan video daripada anak pada 3 Disember lalu yang memberitahu dia dipukul dan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Jelas Ng, Goh sempat menghantar lokasi keberadaannya ketika kali pertama menghubungi pada 3 Disember lalu iaitu di sempadan Thaildan-Kemboja (Poipet).
“Saya sangat sedih melihat keadaan anak yang cedera di muka dan badannya kurus kering selepas dua bulan di sana.
“Dia merayu agar diselamatkan dan membawanya pulang ke Malaysia kerana tidak sanggup lagi diseksa.
“Sehubungan itu, kami telah membuat laporan polis pada 21 Disember dan meminta bantuan daripada MHO dalam usaha menyelamatkannya,” ujarnya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dalam kes berkenaan pihak sindiket tidak meminta wang tebusan atau sebarang tuntutan.
“Kes ini jarang sekali berlaku kerana kebiasaan pihak sindiket akan meminta wang tebusan atau tuntutan sebagai syarat untuk membebaskan mangsa.
“Pihak kami di sini bersedia membantu keluarga mangsa untuk membantu membawanya pulang dengan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai kenalan Goh yang mengajaknya bekerja ke Kemboja, Hishamuddin berkata, beliau tidak pasti sama ada dia salah seorang sindiket atau juga mangsa penipuan tersebut.- KOSMO! ONLINE