KINABATANGAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam ditemui mati dipercayai dibaham buaya di sungai Kampung Bilit di sini pagi tadi.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Maznin Kahar, 40, ditemukan pada pukul 6 pagi tadi kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa disyaki dibaham.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa dijumpai oleh orang awam yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama anggota pasukan keselamatan lain.
“Pasukan bomba menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanujut. Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat, pihak kami menamatkan operasi pada pukul 9 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, BBP Kinabatangan menerima panggilan mengenai kejadian itu dari Balai Polis Sukau pada pukul 1.35 tengah hari semalam.
Berdasarkan maklumat awal yang diterima, saksi menyatakan mangsa bersama tiga rakannya menaiki sebuah bot membawa muatan kayu belian menuju ke tempat pemunggahan. – KOSMO! ONLINE