SANAA – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus selamat ketika Israel melancarkan pengeboman di lapangan terbang Sanaa, Yemen semalam.
Tedros yang berada di lapangan terbang tersebut memberitahu bahawa terdapat kerosakan pada bangunan susulan serangan itu.
“Salah seorang kru pesawat kami turut cedera. Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan terbunuh di lapangan terbang itu” kata Tedros di platform X.
Beliau berkata, kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain selamat tetapi pelepasan mereka ditangguhkan sehingga pembaikan dibuat di lapangan terbang tersebut.
Tedros berada di Yemen sebagai sebahagian daripada misi untuk mendapatkan pembebasan kakitangan PBB yang ditahan pemberontak dan menilai situasi kesihatan serta kemanusiaan di negara dilanda perang itu.
Namun, menurutnya, misi itu telah berakhir semalam dan pihaknya terus menyeru agar tahanan-tahanan badan dunia tersebut dibebaskan dengan segera.
Dalam kenyataan sama Tedros menyatakan bahawa pesawat mereka berdepan serangan udara.
“Menara kawalan trafik udara, ruang rehat berlepas, hanya beberapa meter dari tempat kami berada dan landasan telah rosak,” katanya.
Pengeboman itu berlaku sehari selepas serangan Israel ke atas kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran.
Sebelum ini, lebih enam serangan berlaku ke atas lapangan terbang yang dikuasai Houthi itu dengan Pangkalan Udara Al-Dailami yang terletak bersebelahan turut menjadi sasaran, kata seorang saksi kepada AFP. – AFP