PETALING JAYA – Pengalaman seorang pengguna Facebook, Tuan Kamarul, berbual dengan pemilik trak pikap jenis Toyota Hilux yang sudah uzur membuka mata tentang kepentingan hidup secara sederhana dan bijak mengurus harta.
Ketika menghadiri sebuah majlis kenduri, beliau ternampak sebuah Toyota Hilux yang kelihatan seperti ‘veteran perang’ kerana lampu belakang yang hampir tercabut, berkarat dan dipenuhi daun kering.
Menurut Kamarul, dia kemudian berkesempatan berbual dengan pemiliknya bagi bertanyakan mengenai kenderaan tersebut.
“Kereta ini alat saja, bukan buat gaya. Duit itu baik guna untuk sawit, bela (ternak) lembu, buat rumah sewa. Buat apa jadi hamba kereta?” jawab pemilik trak pikap tersebut.
Kamarul berkata, jawapan lelaki itu membuat beliau termenung dan bersetuju dengan membandingkan kehidupan orang bandar yang sanggup berhabis sehingga tertekan membayar ansuran bulanan.
“Orang bandar habis duit untuk nampak bergaya tapi bila ada kecemasan, tak tahu nak cari duit. Berbeza dengan orang kampung, kereta buruk tapi tanah dia ada lima hektar,” tulisnya.
Kamarul menambah orang kampung seperti pemilik trak pikap tersebut memberikan fokus terhadap pelaburan untuk pulangan jangka panjang.
“Tabung dia penuh dengan duit hasil sawit, lembu dan rumah sewa. Mereka tidak menjadikan kereta sebagai beban atau lambang status. Asalkan boleh jalan, itu sudah memadai. Yang penting, poket tebal,” katanya.
Kamarul menyimpulkan bahawa hidup adalah soal pilihan, sama ada mahu menjadi hamba gaya atau bijak mengurus harta, sambil menegaskan bahawa kereta hanyalah alat dan tidak sepatutnya menguasai kehidupan seseorang. – KOSMO! ONLINE