PETALING JAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas syarikat konsensi tol yang gagal menyediakan lampu jalan secukupnya di sepanjang lebuh raya.
Menurut beliau, keadaan jalan yang gelap di lebuh raya antara faktor utama kemalangan apabila pengguna lebuh raya tidak dapat melihat objek yang mungkin berada di atas jalan raya.
“Kalau jalan kampung yang percuma pun ada lampu, takkan lebuh raya yang kita bayar penggunaannya tak boleh sediakan lampu di tempat yang gelap.
“Kita (pengguna) bayar, jadi kita ada hak untuk dapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas tragedi kemalangan maut di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh yang mengorbankan tujuh nyawa beberapa hari lalu.
Muhamad Akmal berkata, beliau mendesak pihak terlibat memberi perhatian terhadap pemasangan lampu jalan di lebuh raya kerana kemalangan disebabkan keadaan itu telah beberapa kali berlaku.
“Saya mohon sangatlah supaya kejadian sama tidak berlaku lagi di mada hadapan. Saya desak kerajaan Malaysia, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan juga pihak tol tolonglah tengokkan jalan-jalan lebuh raya yang gelap ini.
“Kalau jalan kampung yang tidak berbayar itu pun kita boleh letakkan lampu. Takkan tak boleh sediakan lampu jalan tempat yang gelap-gelap begini,” katanya. – KOSMO! ONLINE