PUTRAJAYA- Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung penglibatan warga Malaysia yang dilaporkan antara mangsa kemalangan bas berhampiran Tasik Åsvatnet, semalam.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, laporan awal menunjukkan penumpang bas terdiri daripada pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis, dan Ukraine.
“Pasukan konsular dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden ini,” katanya hari ini.
Wisma Putra pada masa sama menzahirkan kebimbangan terhadap kemalangan bas yang berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway.
“Maklumat lanjut mengenai insiden ini dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa Norway, hari ini waktu tempatan.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik maklumat tambahan diperoleh,” katanya.
Terdahulu, insiden itu berlaku dalam keadaan cuaca buruk termasuk salji tebal dan angin kencang, seterusnya menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan, manakala empat lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Stokmarknes.
Pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat, meskipun usaha menyelamat pada peringkat awal menghadapi cabaran akibat cuaca buruk. – KOSMO! ONLINE