PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat serta angin kencang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah sehingga pukul 7 malam ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan ini melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Kedah kawasan terjejas termasuk Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Bandar Baharu. Manakala di Pulau Pinang, hujan lebat serta ribut petir dijangka melanda Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan,” katanya.
Bagi Perak, cuaca buruk akan memberi kesan kepada kawasan Kerian, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar dan Kinta. Di Kelantan, kawasan yang terlibat adalah Kuala Krai, sementara di Terengganu, Besut dijangka terjejas.
“Bagi negeri Pahang pula, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir adalah Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Kuantan dan Rompin. Sementara itu, di Selangor, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat,” jelasnya.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dijangka mengalami cuaca yang tidak menentu ini. Johor juga tidak terlepas daripada amaran cuaca buruk, dengan kawasan seperti Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru dijangka terjejas.
Selain itu, di Sabah, cuaca buruk dijangka melanda kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau (termasuk Tawau, Kunak dan Semporna), serta Sandakan (Tongod dan Telupid). Wilayah Persekutuan Labuan juga dijangka mengalami cuaca buruk sehingga petang ini.
Penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda akibat angin kencang.
Orang ramai turut disarankan untuk menangguhkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini. – KOSMO! ONLINE