KULIM – Dua beranak maut selepas motosikal yang mereka tunggang dipercayai dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Kenari 3, Taman Kenari, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.07 petang itu, penunggang motosikal, A. Vinot, 36, dan anak lelakinya, V. Navinessh, 8, maut akibat kecederaan parah pada kepala.
Sementara pemandu kereta jenis Volkswagen Beetle yang merupakan wanita berusia 32 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta tersebut hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan .
Katanya, kereta itu kemudian berlanggar dengan motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki dua beranak yang bergerak lurus.
“Kemalangan itu mengakibatkan pembonceng motosikal berusia lapan tahun mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penunggang motosikal yang juga mengalami kecederaan di kepala meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE