KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Mesir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melilit leher anak lelakinya dengan kabel telefon dan melambung anak perempuannya ke atas katil minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Lelaki asing itu didakwa melakukan perbuatan kejam itu terhadap anak lelakinya yang berusia empat tahun dan anak perempuanya berusia setahun enam bulan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Perbuatan dilakukan di bilik sewa di Jalan Maarof, Bangsar di sini pukul 8.30 pagi pada 17 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan jaminan ke atas tertuduh kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin. Tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Siti Aminah menetapkan tarikh 20 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE