PETALING JAYA – Seekor anjing yang diberi nama Kutty mati dipercayai dipanah pekerja hanya kerana tersalah memasuki lorong di Selama, Perak.
Menurut Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R Kalaivanan, kematian haiwan itu mencerminkan kegagalan masyarakat untuk melindungi haiwan yang tidak bersalah daripada penderaan.
“Tindakan kejam seperti ini sama sekali tidak boleh dibiarkan dan mencabar prinsip asas kemanusiaan, tindakan pantas dan tegas mesti diambil untuk menjamin keadilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Kalaivanan, kejadian tidak berperikemanusiaan itu secara terang-terangan melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang diwujudkan bagi melindungi haiwan daripada kekejaman.
Di bawah Seksyen 30 akta tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000, hukuman penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kami menyeru mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan. Keterangan saksi adalah bukti penting dalam memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Kalaivanan turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes tersebut.
“Kami menyeru seluruh masyarakat untuk bersatu dalam menegakkan hak haiwan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelaku.
“Keadilan untuk Kutty adalah keadilan untuk semua haiwan yang memerlukan perlindungan,” katanya. – KOSMO! ONLINE