fbpx

‘Andai termasuk geng poligami saya tidak boleh cakap apa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMAR melakonkan karakter lelaki yang memilih jalan poligami bernama Dhani dalam drama Berbahagi Suami.

DIKECAM hampir saban hari gara-gara membawakan watak seorang lelaki berpoligami bernama Dhani dalam drama Berbahagi Suami, Amar Baharin berlapang dada dengan segala penerimaan.

Sebagai pelakon, Amar gembira melihat reaksi penonton kerana itu menandakan lakonannya memberi impak kepada audiens.

“Sewaktu dapat tahu judul drama ini pun saya sudah tahu impaknya (ketawa). Kebanyakan orang yang komen dalam sosial media saya adalah perempuan.

“Ada yang kata bodoh dan pelbagai lagi kata-kata menjurus kepada watak Dhani. Apapun saya menikmati komen-komen penonton.

“Jika dipandang dari segi sudut poligami, saya tidak lihat pun wanita akan sokong. Cuma drama ini bukanlah kisah penyondol tetapi bagaimana poligami boleh berlaku dalam sebuah perkahwinan yang bahagia,” ujar Amar.

Ditebak bagaimana penerimaannya secara peribadi terhadap isu poligami, sebelum menjawab Amar berfikir agak lama, barangkali risau tersalah bicara.

“Poligami ini sendiri ada dalam syarak, saya tidak kata nak (buat), saya tidak kata tidak mahu. Apa yang jadi pada masa depan kita tidak akan tahu.

“Namun, andai takdir Allah kita tergolong dalam golongan poligami ini saya tidak boleh cakap apa tetapi lebih kepada berserah.

“Secara peribadi rumah tangga saya sudah cukup sempurna dan fokus kini adalah besarkan anak-anak. Saya langsung tidak terdetik atau berniat hanya kerana berlakon drama ini. Sebab semuanya terpulang kepada individu membuat pilihan hidup,” tutur suami kepada pelakon Amyra Rosli itu lagi.

Selain Amar, drama Berbahagi Suami yang diadaptasi dari sinetron Indonesia itu turut dibintangi oleh Elizad Sharifuddin dan Sharifah Husna.
Karya sebanyak 65 episod itu bersiaran di saluran Astro Prima (saluran 105) setiap pukul 6 petang, bermula 2 Disember lalu.

AKUI Amar, dia tidak mempunyai kuasa untuk sama ada mengiakan atau menidakkan poligami kerana semua itu adalah ketentuan Ilahi. – AFIQ RAZALI

Kerjaya

Berbicara tentang karier seninya, Amar mengatakan zaman berlakon drama ‘ringan’ sudah berlalu.

Mengakui kini penonton lebih menggemari drama bergenre berat dan air mata, Amar menerima setiap naskhah yang hadir dengan tangan terbuka.

“Siapalah saya untuk pilih karya, tetapi melihat trend kebelakangan ini drama berat menjadi pilihan penonton dan mempunyai rating tinggi.

“Sebagai pelakon sudah tentu saya mahukan karya lakonan memberi impak. Dulu saya berlakon drama cinta ringan, sekarang seiring dengan usia drama seperti ini lebih sesuai,” ujar Amar.

Meskipun ramai bintang baharu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, Amar bersyukur dia masih lagi menjadi pilihan produksi untuk memegang watak utama.

Baginya disiplin dan hubungan baik dengan semua pihak memainkan peranan penting untuk kelangsungan kerjaya seni.

“Masih diberi watak hero dalam genre berbeza bagi saya sesuatu yang sangat saya syukuri. Bukan mudah tetapi lakonan adalah periuk nasi saya.

“Jadi, apabila diberi kepercayaan saya akan lakukan sehabis baik. Mungkin juga kerana watak yang diberikan sesuai untuk umur dan kena dengan skrip,” tutur Amar menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI