PETALING JAYA – Pelakon Adam Lee mengalami kecederaan pada bahagian leher sehingga terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.
Tenang menghadapi dugaan, Adam atau nama lengkapnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, tetap menguatkan diri mengikut nasihat ibunya.
Tulang leher patah pula.
“Tidak mengapa, semoga tahun 2025 akan lebih baik dari tahun ini.
“Ingat pesan ibu, saya kuat dan kena kuat,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Selain itu, pelakon drama Budak Tebing itu menegaskan perkara dikongsikan bukan lakonan sebaliknya kejadian sebenar.
Begitupun, suami kepada aktres Sweet Qismina itu tidak mendedahkan punca atau kejadian yang mengakibatkan kecederaan tersebut.
“Doakan saya cepat sembuh ya. Ini bukan lakonan, ini kejadian sebenar,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran sama, Adam turut menunjukkan imbasan X-ray memaparkan bahagian tulang yang patah.
Menerusi ruangan komen, rata-rata rakan artis turut prihatin dengan keadaan Adam selain mendoakan kesembuhannya.
Anak jantan memang begini. Lekas sembuh dan kembali dengan lebih kuat ya,” kata pelakon Faye Kusairi.
“Syafakallah, semoga cepat sembuh,” ujar aktor senior, Esma Daniel.
“Adam, lain kali hati-hati ya, semoga cepat sembuh,” jelas Shahidan Izwan. – KOSMO! ONLINE