SERDANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan lebih 353,400 barangan kes bernilai RM1.8 juta berkaitan judi online serta kontraban.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kesemua barangan kes merupakan rampasan daripada operasi yang dijalankan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi tempoh 2016 hingga 2023.
Menurutnya, ia melibatkan sebanyak 336 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah.
“Barang-barang yang dilupuskan melibatkan rampasan barangan am yang dikendalikan mengikut proses alam sekitar dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Subang (MBSJ).
“Ia terdiri daripada lapan kenderaan, kotak rokok (352,515), laptop (168), tablet (59), router (32) dan 14 unit mesin simulator serta lain-lain selepas mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.
Anbalagan berkata, proses pelupusan itu adalah langkah akhir dalam memastikan barangan yang dirampas tidak kembali semula kepada masayarakat atau disalahgunakan.
Katanya, dengan pelaksanaan tersebut, ia juga secara tidak langsung dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan mengatasi masalah ruang simpanan barangan kes.
“Pelupusan ini dibuat di bawah Akta 407 (A)Kanun Tatacara Jenayah mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTPKN D207) dan Seksyen Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Sebagai agensi penguatkuasaan, PDRM bertanggungjawab memastikan setiap barang kes dikendalikan dengan amanah, telus dan mengikut peraturan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE