KANGAR – Seorang wanita Thailand didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 34 peket minyak masak bersubsidi tanpa lesen pada tahun lalu.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman itu ke atas Salmee Changwang, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang merupakan pemandu Grab dihukum penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan, selain kenderaan miliknya dilucutkan hak.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Salmee didakwa memiliki barangan berjadual iaitu 34 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) dalam keadaan yang menimbulkan syak.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar dekat ini pada pukul 4.30 petang, 19 Disember 2023. – KOSMO! ONLINE