PUTRAJAYA – Seorang wanita warga Indonesia memfailkan notis usul bagi mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu bagi memohon deklarasi bahawa anak lelaki keduanya yang kini berusia 14 tahun adalah warganegara Malaysia.
Notis usul itu adalah berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuanya berhubung permohonan deklarasi itu sebelum ini.
Wanita berusia 40-an selaku pemohon itu memfailkan notis usul tersebut menerusi Tetuan Srimugan & Co. di Mahkamah Persekutuan pada 23 Disember lalu, dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai reponden pertama dan kedua.
Berdasarkan notis tersebut yang diperoleh media hari ini, wanita berkenaan merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 November lalu dengan mengemukan lima persoalan undang-undang.
Sementara itu, peguam A.Srimurugan yang mewakili wanita berkenaan ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.
Kes itu membabitkan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki Malaysia pada 2000 dan memiliki dua anak lelaki yang lahir pada 2004 serta 2010.
Kedua-duanya telah didaftarkan sebagai anak lelaki itu yang juga suami kepada pemohon dan dikeluarkan sijil kelahiran
Apabila anak kedua berumur 12 tahun, dia telah memohon kad pengenalan Malaysia (MyKad) namun kesnya telah dirujuk untuk siasatan lanjut selepas pihak berkuasa mendapati kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang persamaan fizikal dengan lelaki terbabit.
Semasa siasatan, lelaki terbabit mengaku bahawa remaja itu bukan anak kandungnya dan enggan melakukan ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang menyebabkan sijil kelahiran dirampas manakala pengeluaran MyKad ditangguhkan kerana siasatan belum selesai.
Wanita itu kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia dengan memohon pengisytiharan bahawa anak lelakinya adalah warganegara Malaysia serta perintah untuk memaksa JPN mengembalikan sijil kelahiran selain mengeluarkan Mykad.
Pada 16 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula wanita itu dan kemudian merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE