KYIV – Russia melancarkan siri serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan infrastruktur tenaga utama Ukraine, menyebabkan berjuta-juta penduduk bergelap semasa sambutan Krismas, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada dalam keadaan siap siaga apabila beberapa laporan menyatakan bahawa peluru berpandu Russia melintasi ruang udara Moldova dan Romania.
Situasi itu mendorong Poland mengerahkan jet-jet pejuang dan meletakkan pasukan pertahanannya dalam keadaan berjaga-jaga.
Serangan itu menjejaskan perayaan Krismas di seluruh Ukraine, dengan ramai keluarga terpaksa berlindung di stesen-stesen kereta api bawah tanah ketika siren serangan udara dibunyikan di seluruh negara.
Di Kyiv, penduduk terpaksa berkurung di kubu dan stesen kereta api bawah tanah, manakala bekalan elektrik yang terputus menyebabkan hiasan Krismas di Kharkiv menjadi gelap sepanjang hari.
Presiden Volodymyr Zelensky mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan serta menuduh Presiden Russia, Vladimir Putin sengaja menyasarkan cuti Krismas untuk mencetuskan keganasan.
“Apa yang lebih tidak berperikemanusiaan daripada menyerang pada Hari Krismas? Kejahatan Russia tidak akan memecah-belahkan Ukraine atau menjejaskan Krismas kita,” kata Zelensky.
Lebih 70 peluru berpandu termasuk peluru balistik dan lebih 100 dron kamikaze telah dilancarkan dalam serangan diselaraskan awal kelmarin.
Pertahanan udara Ukraine berjaya menembak jatuh sekurang-kurangnya 50 peluru berpandu tetapi kerosakan besar dilaporkan di beberapa wilayah.
Letupan menggegarkan bandar utama termasuk Kyiv, Kharkiv, Dnipro dan Poltava, manakala kemusnahan infrastruktur menyebabkan berjuta-juta orang tidak mempunyai bekalan elektrik, pemanasan atau air semasa suhu berada di bawah paras beku iaitu sifar darjah Celsius.
Sekurang-kurangnya enam orang cedera di Kharkiv, manakala seorang terbunuh di Dnipro, di mana pegawai melaporkan sehingga 20 letupan berlaku. – AGENSI