PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di negeri Kelantan bermula 29 Disember depan.
JPS dalam kenyataan berkata, Keadaan tersebut dijangka berlarutan bagi tempoh tiga hari.
Menurutnya, ia melibatkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
“Di Tumpat, banjir dijangka membabitkan lembangan Sungai Golok, Sungai Kelantan, dan Sungai Pengkalan Nangka. Sementara di Pasir Mas, ia membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
“Selain itu, di Kota Bharu membabitkan tiga lembangan sungai iaitu lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pengkalan Datu dan lembangan Sungai Semerak, manakala di Pasir Puteh ia membabitkan lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Semerak,” katanya.
Sementara itu, bagi Bachok, bencana banjir dijangka melanda lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Semerak, manakala di Tanah Merah, miliputi lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
“Di Kuala Krai, banjir dijangka membabitkan lembangan Sungai Kelantan, manakala di Jeli, ia membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
“JPS akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan signifikan berterusan di lembangan-lembangan sungai berkenaan,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, ramalan banjir tersebut boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan.
“Oleh itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada dan sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE