fbpx

Tak sempat tukar pemandu, dua penuntut UTeM maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAHAGIAN hadapan kereta dinaiki empat mahasiswi UTeM remuk selepas terbabas di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Jasin, Melaka.

JASIN – Hasrat bertukar pemandu berakhir tragedi apabila dua penuntut wanita Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 186.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Jasin, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.24 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Sementara itu, dua lagi rakan mereka, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, dan Azwalidiya Azman, 21, mengalami luka dan cedera pada kaki.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian kereta jenis Perodua Myvi dipandu Nur Hanis dalam perjalanan dari Johor ke Melaka.

“Setibanya di lokasi kereta dinaiki empat penuntut UTeM dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.

“Kedua-dua penumpang di sebelah kiri kenderaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Nur Hanis ingin bertukar pemandu dengan salah seorang rakannya tetapi telah terbabas ke kiri jalan dan merempuh besi penghadang.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI