PETALING JAYA – Seorang pengguna aplikasi X, memuat naik persoalan kepada orang ramai terutama golongan B40 tentang keberadaan mereka sepanjang bulan Disember apabila terdapat cuti sekolah selama seminggu serta cuti perayaan Hari Krismas.
Kata pengguna tersebut, kebanyakan golongan T20 dilihat mengambil peluang bercuti ke luar negara terutama China, Korea, Jepun dan London.
Tambahnya, bagi golongan M40 pula dilihat memenuhi ruang pusat membeli belah seluruh negara terutama di ibu kota selepas menerima bonus hujung tahun daripada syarikat.
Bagaimanapun, menjadi satu tanda tanya dimana keberadaan golongan B40 ketika ini adakah meluangkan masa bersama keluarga di rumah atau masih bekerja keras mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup setiap hari.
“Ramai juga T20 tak ada dekat Malaysia bulan ini, M40 banyak dekat mall (pusat membeli belah, B40 pergi mana ya?,” soalnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen yang mengakui sebagai kelompok B40 memaklumkan, kebiasaan pada hujung tahun mereka akan pulang ke kampung untuk berkumpul dengan ahli keluarga terutama ketika musim cuti sekolah.
“Nak berjalan jauh modal besar, selalu kami yang sederhana ini, geng-geng B40 akan balik kampung, berkumpul adik beradik. Sudah memadai untuk gembirakan keluarga dan anak-anak,” kata Mursyid.
Sementara itu, ada juga berseloroh mengatakan kebanyakan golongan B40 akan ke pusat membeli belah pada waktu siang berbanding M40 yang memilih membajiri kompleks tersebut di sebelah malam dan petang.
“Kami B40 ada dekat ‘mall’ sebelum 12 tengah hari sebab wayang tiket murah sebekum pukul 12 tengah hari. Jadi kami seawal pukul 9.30 pagi masa kedai tak bula lagi dah mula menapak demi secebis tiket wayang murah. Kalau petang atau malam, harga biasa tiket wayang dekat RM22 seorang,” kata @DuniaBaru. – KOSMO! ONLINE