fbpx

Sita, lucut kenderaan perdagangan gagal patuh peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan sita dan lucut hak kepada kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) menerusi operasi khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil ekoran beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan.

“Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, pemilik syarikat atau kenderaan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki melanggar Lesen Pengendali.

“Kesalahan itu kerana kegagalan memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya yang lain.

“Tindakan atas kesalahan itu juga, kenderaan terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 selain kenderaan boleh dilucuthak sekiranya sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000.

“Menerusi operasi khas di seluruh negara, JPJ akan menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan melibatkan beberapa kesalahan termasuk lebih muatan.

“Kesalahan lain termasuklah kesilapan teknikal, dokumentasi, lalu lintas selain teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

“JPJ juga ingin menegaskan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan,” tegasnya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara.

“JPJ memandang serius dengan trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI