PASIR MAS – Seorang pengurus gudang sebuah pasar raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan barangan kawalan iaitu 2.41 tan minyak masak dan 480 kilogram (kg) gula ke premis yang tidak dilesenkan pada Januari lalu.
Muhamad Hilmi Mohamad Ashari, 35, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, OKS yang merupakan pegawai pengurus gudang sebuah pasar raya didakwa telah memindahkan barangan kawalan iaitu minyak masak seberat 2,411 kg dan 480 kg gula pasir kasar tanpa kebenaran sah.
Muhamad Hilmi dituduh memindahkan barangan itu dari premis yang dinyatakan dalam lesen di Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu ke alamat tidak dinyatakan dalam lesen iaitu di Kampung Lubuk Tapah, Lati di sini.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Lubuk Tapah, Lati di sini kira-kira pukul 9 malam pada 14 Januari lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Sophian Zakaria dan Muhammad Hakiim Izani manakala OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 3 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE