BATU PAHAT – Nafsu pelik seorang pekerja kebun sawit yang merakam dan menyimpan video lucah milik ahli keluarga termasuk neneknya sendiri mengundang padah apabila lelaki itu dipenjara empat hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Hukuman itu dikenakan ke atas pemuda yang berusia 23 tahun selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon miliknya di sebuah rumah di Sri Medan di sini, pukul 11.15 malam, 23 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta dan laporan, polis menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung pautan yang digunakan tertuduh yang mana ada kaitan dengan video dan gambar lucah dirakamnya.
Sebaik menerima maklumat itu, polis menyerbu rumah didiami tertuduh bersama ahli keluarga lain dan merampas telefon bimbitnya.
Pemeriksaan menemui beberapa gambar dan video yang dirakam tertuduh. Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bahan lucah adalah nenek, ibu saudara dan juga sepupunya.
Semua video dan gambar itu dirakam ketika mereka sedang mandi dan juga menyalin pakaian dalam bilik.
Berikutan itu, polis menahan tertuduh pada hari sama dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana bimbang kemungkinan tertuduh akan melakukan perkara sama jika dikenakan denda.
Mahkamah menjatuhkan penjara empat hari dan denda RM4,000 serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayarnya.-KOSMO! ONLINE