fbpx

Nahas WCE: Isteri minta maaf berulang kali sebelum hembuskan nafas terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD Syuqur menunjukkan gambar ister dan anaknya yang maut dalam nahas di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan dekat Sitiawan hari ini.

LUMUT – Wanita yang maut dalam kemalangan di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan di sini hari ini sempat memohon maaf kepada suami sebelum menghembuskan nahas terakhirnya.

Suami mangsa, Mohammad Syuqur Ahmad, 24, berkata, dalam keadaan nazak, isterinya itu berulang kali memohon maaf sebelum dia bertindak menenangkan wanita itu

“Arwah isteri cedera parah namun dia masih lagi bernyawa. Dalam keadaan nazak itu dia sempat minta maaf dan saya beritahu supaya jangan fikir apa-apa.

“Saya sempat mengajar isteri mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia tiba-tiba senyap,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Seri Manjung, di sini hari ini.

Menurut pemandu lori itu, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri serta dua anak dalam perjalanan dari rumah di Gelung Pepuyu, Bota pada pukul 4 pagi untuk mengambil lori yang di parkir di syarikat di Kampung Acheh, Sitiawan.

Katanya, mereka sekeluarga juga bercadang untuk sarapan pagi di sebuah restoran 24 jam sebelum kereta dipandunya hilang kawalan ketika cuba mengelak haiwan yang cuba melintas jalan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu, apabila sedar, saya lihat isteri parah dengan seorang anak telah tercampak keluar. Kami dibantu oleh orang awam keluar dari kereta yang terbalik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Syuqur memberitahu, dia sekeluarga baru pulang dari kampung isterinya di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan dan tiba di rumah mereka sekitar pukul 11 malam tadi.

Katanya, ketika di rumah keluarga mertua, isterinya itu dilihat berbeza apabila kelihatan gembira dan banyak ketawa.

“Isteri memang bersungguh-sungguh mahu balik ke kampung jumpa ibunya. Saya perasan ketika di sana, dia banyak ketawa dan ada masa dia diam.

“Malah ketika dalam perjalanan untuk ambil lori pun dia berkali-kali pesan untuk sampaikan salam kepada ibu saya dan ibu mertua. Ketika ini saya hairan dan bertanya kenapa sebelum dijawab isteri ‘tak tahulah, nak jadi kot’,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 5 pagi itu, Nor Fadhilah Mohd. Azlan, 24, dan bayi lelakinya yang berusia 15 bulan, Muhammad Iman Irfan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian itu, Mohammad Syuqur yang memandu kereta Perodua Kelisa dan seorang lagi anak lelakinya, Muhammad Alif Sufi berusia tiga tahun pula cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI