TUMPAT – Seorang lelaki warga Thailand dicekup apabila didapati menyelinap masuk ke negara ini melalui pangkalan haram selepas menyeberangi Sungai Golok di Kampung Pulau Ular, di sini semalam.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi sebaik sahaja menjejakkan kaki di kawasan pangkalan haram di kampung tersebut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota Batalion 8 PGA melihat sebuah bot dari Thailand semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, bot tersebut kemudian dilihat menurunkan penumpang di bawah jambatan di kampung terbabit.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu bot itu terus melarikan diri meninggalkan penumpangnya.
“Lelaki disyaki warga Thailand itu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah semasa ditahan. Suspek juga didapati masuk ke negara ini melalui pengkalan haram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE