LONDON – Seorang lelaki ditahan selepas dia memandu kereta dan merempuh sekumpulan pengunjung susulan satu pertengkaran di kelab malam, lapor akhbar Metro UK semalam.
Polis dipanggil ke lokasi kejadian menjelang pukul 1 pagi (waktu tempatan) selepas kemalangan berlaku, manakala pemandu berkenaan dilihat memandu melawan arus di Shaftesbury Avenue.
Empat pejalan kaki dibawa ke hospital, dengan seorang lagi dalam keadaan serius, kata polis.
Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan cubaan membunuh.
Timbalan Asisten Komisioner, Stuart Cundy berkata, pihak berkuasa bertindak pantas selepas menerima laporan dan bekerjasama rapat dengan Polis Metropolitan London untuk menangkap suspek dalam masa beberapa minit sahaja.
“Polis juga menjalankan siasatan dengan pantas. Suspek dipercayai terbabit dalam pertengkaran di sebuah kelab malam sebelum menaiki keretanya dan memandu ke arah sekumpulan pejalan kaki.
“Ini insiden terpencil dan tiada kaitan dengan tindakan keganasan,” katanya. – AGENSI