KUALA LUMPUR – Polis telah merakam percakapan tujuh individu termasuk pensyarah, penuntut Universiti Malaya dan seorang aktivis haiwan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian kucing yang dilaporkan berlaku di kawasan universiti itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, rakaman percakapan aktivis haiwan tersebut telah dilakukan hari ini.
Katanya, bangkai kucing yang ditemui pada jumaat lalu telah diserahkan kepada pihak polis.
“Bangkai kucing itu telah dihantar ke Makmal Veterinar untuk pemeriksaan dan bedah siasat, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bangkai kucing kedua yang ditemui di kawasan tempat letak kereta Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya, semalam, turut dihantar ke makmal sama untuk tujuan pemeriksaan dan bedah siasat.
Kelmarin, media melaporkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes kematian kucing di kawasan Universiti Malaya serta kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang aktivis haiwan mengenai kejadian tersebut.
Sebelum ini, tular hantaran di media sosial berkaitan kucing didakwa diperlakukan dengan kejam apabila dibelah perut selain keempat kaki telah dipotong di kawasan universiti itu.
Susulan itu, hantaran terbabit turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil.-KOSMO! ONLINE.