fbpx

Kecuaian perubatan: Bekas pengawal keselamatan dapat ganti rugi RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Taiping mengarahkan sebuah hospital di Perak dan empat lain membayar ganti rugi sebanyak RM1.8 juga kepada seorang bekas pengawal keselamatan ekoran kecuaian ketika memberikan rawatan akibat kemalangan sehingga menyebabkan otaknya mengalami kecederaan kekal.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman P. Thinnagaran terhadap Kerajaan Malaysia, pengarah hospital berkenaan dan tiga doktornya serta memerintahkan defendan-defendan secara bersama membayar kesemua ganti rugi.

Bagaimanapun, kelima-lima defendan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan notis rayuan difailkan pada 2 Ogos lalu.

Mahkamah juga turut membenarkan tuntutan saman plaintif terhadap liabiliti dan kuantum selepas mendapati lelaki itu berjaya membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Otak plaintif tidak mendapat oksigen yang sepatutnya melebihi 12 jam ketika menunggu untuk distabilkan yang menyebabkannya mengalami kecederaan kekal,” ujar penghakiman bertarikh 24 Disember lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini.

Penghakiman lanjut turut menyatakan kerosakan kekal kepada otak plaintif boleh dielakkan sekiranya defendan mendiagnosisnya dengan betul, merawat dan memantau dengan lebih dekat selepas dia dimasukkan ke Hospital Taiping akibat kemalangan kenderaan bermotor 2 Januari 2016.

Selain itu keterangan kes menyatakan, plaintif yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan dengan kereta di Jalan Transkrian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mangga, Juru menghala ke Parit Buntar.

Plaintif pada asalnya dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum dirujuk ke Hospital Taiping kira-kira pukul 6 petang dan dimasukkan ke Wad Otopedik.

Plaintif kemudian diperiksa kira-kira pukul 6.46 petang bagi mengelakkan Sindrom Embolisme Lemak (FES) ekoran stuktur tulangnya patah dalam tempoh yang lama.

Pasukan anestetik kemudian membuat keputusan supaya dia diintubasi sebelum menjalani pembedahan pada 8 malam, 3 Januari 2016.

Plaintif dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada 23 Januari 2016 iaitu selepas 20 hari. MRI yang dijalankan sehari sebelum itu menunjukkan plaintif mengalami Hypoxic Ischaemic Encelopathy (HIE) atau kecederaan otak kerana tidak mendapat oksigen dan darah mencukupi.

Mahkamah menerima keterangan seorang pakar yang menyatakan sekiranya pihak hospital menjalankan pembedahan untuk menstabilkan tulang patah pada petang 2 Januari, risiko FES berlaku boleh dikurangkan.

Ujar hakim itu, saksi defendan sendiri menyatakan bahawa plaintif sepatutnya dirujuk ke ICU apabila dia mengantuk dan proses intubasi dilakukan lebih awal bagi meningkatkan pengoksigenannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI