PETALING JAYA – Selaras dengan usaha negara untuk menjadi sebagai hab bagi pusat data di pasaran Asia, ia penting untuk memastikan bahawa pusat data ini tidak member tekanan kepada bekalan air negara tetapi sebaliknya, mewujudkan peluang baharu untuk menjadi air pulih guna sebagai salah satu penyelesaian.
Perkembangan ini berlandaskan perancangan garis panduan Kerajaan baru-baru ini, yang direka untuk menyeragam dan menyelaraskan proses pembangunan pusat data negara.
Ia bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan mampan pusat data di samping, memastikan pematuhan merangkumi kawal selia, teknikal, alam sekitar dan operasi.
Dengan penggunaan air yang tinggi bagi pusat-pusat data bagi tujuan penyejukan, adalah penting untuk Malaysia menggunakan sumber air secara mampan.
Pendekatan ini bagi memastikan permintaan industri dapat dipenuhi serta memelihara sumber berharga negara dengan menggunakan sumber air alternatif tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bersih.
Dalam konteks ini, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd siap siaga dalam memberi satu penyelesaian melalui air pulih guna yang dijana daripada bioefluen terawat.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam menyatakan komitmen syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pengurusan sumber air yang mampan.
Jelas beliau, IWK telah menyasarkan pelaksanaan projek air pulih guna melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta serta memanfaatkan pendekatan Build-Operate-Transfer (BOT) atau untuk memacu inovasi dan kecekapan.
Pendekatan ini membolehkan syarikat swasta dapat membiayai, membina, mengendali dan menyelenggara kemudahan berkenaan bagi tempoh yang dipersetujui serta peluang untuk mendapatkan semula pelaburan sepanjang kitaran hayat projek tersebut.
“Memandangkan industri pusat data Malaysia semakin berkembang, terdapat banyak potensi untuk pusat data ini menggunakan air pulih guna. Air pulih guna boleh membantu mengurangkan permintaan bekalan air minuman, mengurangkan krisis bekalan air minuman, di samping menggalakkan kemampanan serta menggalakkan prinsip ekonomi kitaran,” kata Narendran.
Air pulih guna adalah efluen terawat yang telah menjalani proses rawatan tambahan sekaligus menjadikannya sesuai untuk diguna semula.
Selepas air sisa melalui loji rawatan kumbahan IWK, ia menghasilkan air terawat yang dikenali sebagai efluen terawat atau bioefluen.
Biproduk ini kemudiannya boleh ditulenkan mengikut piawaian yang ditetapkan untuk kegunaan industri bagi tujuan bukan minuman, seperti penyejukan dalam proses perindustrian atau untuk penggunaan pusat data.
IWK komited untuk menyokong sektor ini dengan alternatif air bukan minuman, berdasarkan kejayaan operasi Loji Rawatan Air Pulih Guna (LRAP) yang telah menyediakan air pulih guna sejak 2021.
“Kami telah bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), melalui sebuah syarikat tujuan khas, Central Water Reclamation Sdn. Bhd. (CWR) untuk bersama menguruskan LRAP di Setia Alam. Sehingga kini, LRAP berkenaan telah menghasilkan 4 juta liter sehari (MLD) air pulih guna untuk kegunaan industri,” tambah Narendran.
IWK juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan projek air pulih guna di Pulau Pinang dan Melaka.
Selain itu, IWK turut bekerjasama dengan operator air dan pihak berkepentingan di Negeri Sembilan dan Johor untuk menjana sumber air alternatif bagi kegunaan bukan minuman.
“Melalui semua kerjasama ini, hasil daripada penggunaan semula bioefluen dijangka lebih besar. Kami berhasrat untuk menyumbang ke arah mencapai matlamat strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk membekalkan 200 MLD air pulih guna menjelang 2030,” katanya.
Dengan menjalin kerjasama bersama sektor swasta melalui pendekatan BOT dan membangunkan LRAP tambahan di lokasi utama yang disasarkan oleh pusat data, penggunaan semula bioefluen di Malaysia untuk kegunaan bukan minuman dilihat bersedia untuk berkembang dengan lebih pesat.
IWK juga telah mengaplikasikan slogan “New Life for Water” atau “Era Baharu Air” yang merangkumi semua inisiatif untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dan ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap alam sekitar dengan memastikan bahawa efluen terawat yang dilepaskan adalah bersih, selamat dan mampan untuk alam sekitar.
Transformasi IWK untuk meneroka ke arah pengurusan air sisa yang lebih menyeluruh termasuk pemulihan sumber yang bukan sahaja mencipta peluang perniagaan baharu untuk syarikat tetapi juga menjadi sebuah harapan untuk masa depan yang lebih hijau dan mampan untuk Malaysia.
IWK telah mengambil langkah ke arah menggalakkan ekonomi kitaran dan meningkatkan kemampanan industri perkhidmatan air melalui inisiatif penggunaan semula bioefluen.
Dengan anggaran kira-kira 6,400 MLD efluen terawat yang dilepaskan daripada loji rawatan kumbahan di seluruh Semenanjung Malaysia, yang bersamaan dengan lebih 2,000 kolam renang bersaiz Olimpik, terdapat potensi besar bagi IWK untuk memulih guna efluen terawat untuk kegunaan bukan minuman.
Strategi ini juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Air (AIR 2040) yang dilancarkan PETRA baru-baru ini, dimana ia memberi tumpuan kepada meningkatkan daya tahan sektor air negara dengan menggalakkan pengurusan sumber yang mampan dan memupuk pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan sektor swasta dan kemajuan teknologi.
“Ia menggariskan komitmen kami terhadap pengurusan air yang mampan, di samping menyediakan penyelesaian inovatif untuk pusat data yang komited terhadap prinsip Environmental, Social and Governance (ESG). Banyak pusat data antarabangsa telah menyatakan minat untuk menggunakan air pulih guna ini untuk tujuan penyejukan.
IWK sedia untuk bekerjasama dengan pemain industri untuk membantu mereka mencapai matlamat kemampanan.
“Dengan berbuat demikian, IWK bukan sahaja menyokong objektif UNSDG tetapi juga memain peranan dalam menggalakkan pelaburan asing di Malaysia, serta memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam sektor air tempatan, di samping mendorong pengurusan sumber yang lebih bertanggungjawab,” jelas Narendran. – KOSMO! ONLINE