PETALING JAYA – Dua individu selamba membuang lima plastik bungkusan pakaian lama di satu fasiliti kitar semula, sedangkan terang-terangan terpampang tulisan sampah berkenaan tidak diterima di kemudahan tersebut.
Tindakan mereka dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) serta dimuat naik pada TikTok trash4cashmy dan kejadian berlaku di fasiliti kitar semula (Automatic Drive Thru Recycling Center – ADTReC) di Kundang dan Kuang, Selangor.
“Kami ada sediakan fasiliti kitar semula ADTReC di Kundang dan Kuang. Yang menariknya fasiliti ini, walaupun tiada pekerja, pengguna masih boleh menggunakan fasiliti secara 24 jam dan masih boleh terima pembayaran bagi penjualan barang kitar semula.
“Cumanya perlu ikut langkah-langkah yang tertera di fasiliti tersebut. Fasiliti ini juga dilengkapi dengan CCTV motion sensor, Intercom dan menggunakan kuasa solar untuk menghidupkannya.
“Bagaimanapun, minda masyarakat Malaysia masih ramai yang jenis tak ambil kisah, malas membaca dan nak mudahkan diri sendiri sahaja. Sudah diberi fasiliti canggih dan cantik masih ada yang buang sampah merata-merata,” menurut hantaran itu.
Pihak trash4cashmy menjelaskan, fasiliti tersebut mempunyai lima pintu iaitu kertas dan kotak, plastik, besi dan aluminium, sisa elektronik dan minyak terpakai.
“Tulisan terpampang besar tapi masih ada yang pentingkan diri dengan buang sahaja sampah di hadapan itu.
“Kami tidak akan berdiam diri sehingga semua minda masyarakat Malaysia akan lebih terbuka dan mengamalkan kitar semua dengan cara yang betul,” katanya.
Tegasnya lagi, fasiliti berkenaan tidak menerima fabrik, kaca, kayu serta sebarang barangan yang tidak dinyatakan di situ.
“Semoga minda masyarakat Malaysia lebih maju dan lebih efisyen dalam mengitar semula,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE