LUMUT – Seorang wanita dan anak lelakinya yang berusia 2 tahun maut setelah terlibat kemalangan di Kilometer 212.3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Selatan di sini kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Wira dan Perodua Kelisa.
“Seramai enam orang mangsa terlibat dalam kemalangan itu iaitu tiga lelaki dewasa yang mengalami kecederaan ringan, seorang wanita dewasa (maut) dan dua kanak-kanak lelaki dengan seorang daripadanya maut.
“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam. Maklumat diterima dua orang telah disyaki maut di lokasi kejadian manakala empat lagi mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sabarodzi, mangsa yang menaiki Proton Wira dan mengalami kecederaan ringan ialah Ahmad Aizat Khalid Abd Manan, 27, dan Mohammad Iqbal Tamsir, 31.
Katanya, Perodua Kelisa pula dinaiki Mohammad Shuqur Ahmad, 24; Nor Fadhilah Mohd. Azlan, 24, yang maut, dan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia kira-kira 2 tahun (maut) dan 3 tahun (cedera).
“Mangsa mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Seri Manjung dan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE