PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia 2025 (FEM2025) pada 9 Januari 2025.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, FEM2025 yang bertemakan ‘Seizing Malaysia’s Moment’ bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.
“Pelbagai topik utama akan dibincangkan termasuk inovasi dan teknologi, peluang pelaburan di Malaysia, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan strategi menghadapi cabaran ekonomi global.
“FEM2025 bakal menghimpunkan pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk membincangkan isu-isu ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Berdasarkan laman web FEM2025, forum tersebut akan memantau kemajuan inisiatif kerajaan dalam jangka masa sederhana dan menetapkan naratif bagi tahun akan datang.
Antara penceramah termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift turut dijadualkan menyampaikan ceramah.
Rafizi berkata, mereka yang berminat untuk menyertai FEM2025 boleh membuat pendaftaran kehadiran di https://fem.ekonomi.gov.my/request-invitation – KOSMO! ONLINE