MANCHESTER – Ketua pasukan Manchester City, Kyle Walker mendedahkan bahawa berlaku perubahan dalam pasukannya sejak mereka bergelut dengan masa prestasi apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir.
City berdepan kejatuhan prestasi secara mendadak bermula hujung Oktober lalu apabila hanya menghuni kedudukan ketujuh saingan Liga Perdana Inggeris dan hampir terkeluar daripada saingan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
Selepas mengalami kekalahan terbaharu kepada Aston Villa pada Sabtu lalu, pengendali pasukan itu, Pep Guardiola dilaporkan memberi arahan yang luar biasa dan tidak pernah dilakukan pasukan itu sebelum ini.
Walker mendedahkan bahawa Guardiola mengarahkan pasukan itu untuk turun menjalani latihan semalam biarpun mereka sedang menyambut perayaan Hari Krismas bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi menentang Everton malam ini.
“Kami sangat bernasib baik sebelum ini apabila tidak pernah diarah menjalani latihan pada Hari Krismas. Beberapa musim lalu, sambutan perayaan kami berlangsung dalam suasana yang sangat menggembirakan.
“Namun, kali ini segalanya berubah. Kami diarahkan untuk turun menjalani latihan menjelang perlawanan ‘Boxing Day’ menentang Everton di Etihad,” katanya.
Selepas perlawanan menentang Everton, Guardiola perlu menyiapkan pasukan terbaiknya menjelang aksi menentang Leicester City di Stadium King Power pada Ahad ini. – AGENSI