MANCHESTER – Kemarau kemenangan Manchester City terus berpanjangan selepas dipaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Everton di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Disebalik kegagalan tuan rumah untuk menyempurnakan peluang, penjaga gol Everton, Jordan Pickford layak dijulang wira The Toffees apabila pamer ketangkasan termasuk menyelamatkan sepakan penalti bintang sensasi Man City, Erling Haaland.
Keputusan itu juga menyaksikan Everton kini tidak tewas dalam sembilan aksi Boxing Day dimana kali terakhir mereka tewas adalah ketika tunduk 0-4 kepada Aston Villa pada 2005.
Terdahulu Man City memulakan perlawanan dengan ‘langkah kanan’ apabila membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi Bernardo Silva namun disiplin tinggi pertahanan Everton menafikan hajat tuan rumah untuk memperoleh gol tambahan.
Sebaliknya pada minit ke-36, kegagalan Manuel Akanji untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membuka peluang buat Iliman Ndiaye meledak gol penyaman buat Everton.
Ketangkasan Pickford menjadi topik utama di awal separuh masa pertama termasuk tindakan cemerlangnya menafikan sepakan penalti Haaland pada minit ke-53.
Seterusnya, kedua-dua pasukan berjaya mencipta beberapa peluang terbaik namun semuanya gagal disudahkan dengan baik. – AGENSI