fbpx

‘Bertahan sayang, Allah akan gantikan yang terbaik – Isteri Along Cham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISTERI Along, Afreena berharap dugaan besar dilalui suaminya akan diakhiri dengan hikmah lebih baik satu hari nanti.

PETALING JAYA – “Saya tahu sukar dan sakit tetapi Allah akan ganti dengan perkara lebih baik.”

Demikian luahan isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi yang percaya dugaan berat dilalui suaminya akan diakhiri dengan kehadiran pelangi.

Dalam masa sama, wanita terbabit berharap pelakon dan pengacara terbabit terus cekal berhadapan ujian tersebut.

“Awak adalah dunia saya, saya tahu sukar dan sakit untuk dilalui tetapi percayalah Allah akan menggantikan dugaan ini dengan perkara lebih baik.

“Bertahan ya sayang, saya tahu bukan mudah. Saya sentiasa ada untuk awak.

“Tempat awak adalah di rumah, rumah adalah tempat awak yang sebenar,” katanya dalam hantaran Instagram.

Malah, wanita itu turut menegaskan bahawa dia enggan peduli dengan kecaman orang selain tidak akan meninggalkan lelaki itu dikala susah.

“Tidak kisah apa sahaja orang mahu bercakap fasal awak, saya sentiasa akan berada di sisi dan mempertahankan awak.

“Saya akan tunggu dan tidak akan meninggalkan awak walau sesaat,” ujarnya.

Sebelum ini, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis Kanabis lebih 60gram.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dalam milikannya disyaki dadah jenis Kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Laman Lakeview, Cyberjaya pada 14 Disember lalu.

Along membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Fuad tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI