fbpx

Bendera China pada replika kapal angkasa di Tangkak disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tular menunjukkan terdapat dua bendera negara China pada replika kapal angkasa di sebuah karnival lampu LED di Bukit Gambir, Tangkak.

MUAR – Tular di media sosial Facebook terdapat gambar dua bendera China pada sayap replika kapal angkasa dipercayai berlaku di sebuah karnival lampu LED di sini sejak kelmarin.

Kejadian itu telah mencetuskan rasa bimbang dan kegelisahan malah boleh menimbulkan provokasi dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis sudah dibuat Pemuda UMNO Bahagian Ledang semalam.

“Sejak awal isu ini diviralkan saya telah berhubung dengan pihak Majlis Daerah Tangkak (MDT) menyuarakan rasa kebimbangan bahawa perkara ini akan mencetuskan kegelisahan masyarakat.

“Saya menekankan satu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program tersebut sekiranya benar pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MDT dan pihak keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan pada di sini hari ini.

Sahrihan berkata, tindakan tegas perlu diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival dengan serta-merta.

“Saya difahamkan secara tidak rasmi bahawa karnival terbabit akan dihentikan operasinya bermula pada Khamis.

“Namun, permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini,” katanya.

Jelasnya, beliau dan UMNO tidak akan bersekongkol dengan tindakan mana-mana pihak yang menggugat maruah dan keselamatan negara.

“Saya menegaskan bahawa masyarakat di Gambir sangat menjunjung tinggi kehidupan harmoni dan bersatu padu serta saling menghormati adat kebudayaan dan kepercayaan masing-masing.

Masyarakat di Gambir juga jelas menolak sebarang usaha tersirat yang bertujuan mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan sayangkan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI