fbpx

Nahas WCE: Bayi lelaki, ibu maut tercampak keluar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta yang terlibat nahas di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Lumut hari ini.

LUMUT – Bayi lelaki berusia 15 bulan yang meninggal dunia bersama ibunya dalam kemalangan di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan di sini hari ini, tercampak keluar dari kereta sebelum dilanggar kenderaan lain.

Kejadian sekitar pukul 5 pagi itu mengorbankan Muhammad Iman Irfan Mohammad Syuqur dan ibu, Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, yang maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian itu, bapa mangsa, Mohammad Syuqur Ahmad, 24, yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa dan abangnya, Muhammad Alif Sufi berusia tiga tahun pula cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu yang dilaporkan orang awam pada pukul 5.30 pagi membabitkan tiga buah kenderaan.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan membabitkan kereta Perodua Kelisa dinaiki dua mangsa yang dipandu lelaki berusia 24 tahun di mana kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

“Kereta yang dinaiki empat beranak itu kemudiannya terbalik di tengah jalan sehingga mengakibatkan seorang bayi lelaki tercampak keluar dari kenderaan.

“Pada masa sama, sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti tidak sempat mengelak telah melanggar mangsa dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 27 tahun pula merempuh kereta Perodua Kelisa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Perodua Kelisa mengalami kecederaan manakala penumpang wanita dan seorang bayi lelaki pula meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-6375962 atau talian 05-6899072,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI