KUALA TERENGGANU – Seorang bapa mendakwa bayi perempuannya terjatuh sewaktu berusia dua hari akibat kecuaian pengurusan sebuah hospital di bandar raya ini.
Muhammad Syarifuddin Manan, 24 mendakwa, anak sulungnya yang kini berusia 41 hari sering mengalami sawan berikutan insiden yang berlaku pada 17 November lalu.
“Anak saya terjatuh dari katil bayi ketika ingin dipindahkan ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan jaundis (demam kuning).
“Dia dilahirkan normal dengan berat 3.3 kilogram (kg) namun setelah terjatuh, kesihatannya sering terganggu akibat kecederaan pada bahagian kepala,” dakwanya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu peniaga tersebut yang ditemani peguam, Mohd. Hazwan Hamidun membuat laporan polis berhubung insiden menimpa bayinya.
Muhammad Syarifuddin mendakwa bayi perempuan sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat sawan selepas insiden berkenaan.
“Saya dan isteri juga tidak berpuas hati dengan penjelasan diberi pihak hospital apatah lagi kami tidak dibenarkan untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk melihat sendiri insiden tersebut dengan lebih jelas,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE