fbpx

Anwar kagum kreativiti Dream Forest Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar memuat naik gambar beliau di Dream Forest Langkawi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum dengan bakat kreatif yang ditonjolkan di Dream Forest Langkawi.

Menurut Anwar, projek itu malah berjaya mengetengahkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang amat berkesan.

Kata beliau, Dream Forest Langkawi memaparkan lagenda dan mitos tempatan yang menjadi antara sebahagian penting warisan negara.

“Saya telah menghubungi Tan Sri Fendi dan Puan Sri Tiara (Puan Sri Tiara Jacquelina) untuk menyampaikan penghargaan atas usaha hebat mereka dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dream Forest Langkawi merupakan taman tema pertama di Malaysia dibuka pada waktu malam berlandskapkan hutan prasejarah berusia ratusan juta tahun.

Pengunjung boleh menjelajah laluan sepanjang 1.2 kilometer dalam hutan terbabit dengan setiap tempat strategik bergambar dan mempunyai penceritaan tersendiri.

Dream Forest Langkawi menghidupkan karakter legenda dari Langkawi seperti Tasik Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan Gergasi Langkawi.

Anwar berkata, beliau berharap lebih banyak inisiatif seperti itu diwujud dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara.

Ujar beliau, inisiatif itu turut menghidupkan minat terhadap mitos, legenda dan sejarah tanah air.

“Langkawi tidak hanya sebuah pulau yang indah, tetapi penuh dengan kisah dan warisan yang patut ditelaah dan digarap generasi kini dan akan datang.

“Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baru,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI