DUNGUN – Seorang pengutip besi buruk yang tidak pulang ke rumah seharian ditemui mati oleh anak lelakinya di kawasan belukar berhampiran Sungai Paka berhampiran Durian Mentangau di sini, hari ini.
Mayat Zulkifli Awi, 54, ditemui anak bongsunya, Mohd. Firdaus Daniel Zulkifli, 18, pada pukul 12 tengah hari.
Mohd. Firdaus Daniel berkata, bapanya, Zulkifli dari keluar rumah mereka di Balai Besar di sini untuk bekerja pada pukul 6 pagi.
“Biasanya ayah akan makan tengah hari di rumah tetapi semalam dia tidak pulang sehingga lewat malam.
“Saya yang risau cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjawab malah dia juga tiada di tempat kerja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Durian Mentangau di sini hari ini.
Mohd. Firdaus Daniel berkata, dia kemudiannya bergegas ke Durian Mentangau sebaik dimaklumkan penemuan kereta Proton Saga milik bapanya di lokasi tersebut oleh salah seorang rakan orang tuanya itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu yang telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut itu.- KOSMO! ONLINE