SHAH ALAM – Kira-kira 20 tan tumpahan minyak kelapa sawit dikesan susulan kemalangan lori tangki terbalik di Kilometer (KM) 27.9 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), semalam.
Tumpahan minyak itu kemudiannya telah memasuki ke dalam longkang berhampiran dengan anggaran sepanjang 150 meter.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan semakan juga mendapati terdapat juga limpahan tumpahan tersebut di longkang lebuh raya mengalir ke anak Sungai Gombak.
“Walau bagaimanapun aliran tumpahan tersebut telah membeku. LUAS melaksanakan tindakan kawalan pencegahan dengan meletakkan oil boom di anak Sungai Gombak bagi memerangkap sebarang kesan minyak masuk ke sungai tersebut.
“LUAS juga telah meletakkan sebanyak 10 beg activated carbon (AC) di kawasan terlibat bagi tujuan nyahbau,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Menurut LUAS, pengendali KLK, AFA PRIME Berhad turut didapati telah segera melaksanakan pengawalan tumpahan dengan meletakkan serbuk kayu di atas jalan dan membina ban tanah di longkang lebuh raya itu.
LUAS menambah, sebanyak empat buah lori tangki sedut pihak Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. telah digunakan bagi menyedut sisa minyak di sum lebuhraya.
“Pada masa sama, kerja-kerja pembersihan secara manual (menyodok keluar sisa minyak) juga dilaksanakan bagi mempercepatkan proses.
“Sehingga jam 8 pagi ini kerja-kerja pembersihan telah mencapai tahap 57 peratus dan terus dilaksanakan sehingga selesai sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kegagalan brek lori tangki tersebut menjadi punca kemalangan itu dengan lori berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Pelabuhan Klang. – KOSMO! ONLINE