PETALING JAYA – Niat seorang pemuda mahu membawa ibu bapa menunaikan haji terbantut selepas mendakwa ditipu oleh ‘scammer’ tiga segi berkaitan urusan jual beli emas sehingga mengalami kerugian sebanyak RM6,594.
Menerusi hantaran pengguna Facebook Madi Rizal, dia berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama individu terbabit dan selepas wang dipindahkan, dia telah disekat dalam aplikasi tersebut.
“Allah sahaja tahu perasaannya. Hancur hati terduduk saya dibuatnya. Hati-hati buat (orang) yang lain dengan nombor ‘scammer’ ni.
“Kejadian malam tadi membuatkan saya terdiam seribu bahasa kerana saya baru sahaja memulakan perniagaan dengan niat dapat bawa ibu ayah menunaikan haji dan saya ingin berkahwin.
“Hancurnya hati, buat si penipu dan penipu yang lain. Saya takkan maafkan awak. Allah itu ada. Hari ni awak khianat saya,” kongsinya menerusi hantaran tersebut.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Facebook, malah ada yang turut menjelaskan mengenai penipuan ‘scammer’ tiga segi memandangkan taktik itu agak rumit dan ramai yang tidak memahaminya.
“Penipuan tiga segi ke ni? Pembeli ‘deal’ dengan ‘scammer’. Scammer ‘deal’ dengan pemilik emas (penjual). Scammer ‘deal’ jumpakan dua-dua pihak pada satu tempat. Pembeli dan penjual berjumpa.
“Scammer suruh masukkan duit ke akaun milik scammer. Pembeli dah masukkan ke akaun scammer. Tapi penjual tak lepaskan emas sebab bukan masuk ke akaun penjual. Jadi scammer dapat duit percuma, pembeli yang merana,” jelas Rashidah Rashidi.
“Ni tiga serangkai. Pembeli, penjual dan scammer. Pembeli beli, scammer dapat duit, penjual serah barang. Bila scammer dah dapat duit, penjual tak terima duit, penjual tak bagi emas. Pembeli terduduk.
“Kasihan pembeli, tak apa ada rezeki lain. Berat timbangan kat akhirat. Sabar dan reda insya-Allah diganti yang baik,” kata Mohd. Safwan.
Dalam masa sama, ada juga pengguna Facebook mendakwa pernah ditipu dengan taktik tersebut sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.
“Saya kena macam ni RM30,000. Dia guna akaun keldai, kita pun tak tahu berapa ramai depa (mereka) ni,” kongsi seorang individu. – KOSMO! ONLINE