WASHINGTON – Berpuluh-puluh kondominium mewah, hotel dan bangunan lain di tenggara Florida, Amerika Syarikat (AS) sedang tenggelam pada kadar yang mengejutkan, demikian menurut pendedahan penyelidik seperti laporan saluran berita CNN kelmarin.
Kajian yang diketuai oleh sekumpulan saintis di Universiti Miami itu mendapati, sebanyak 35 bangunan dari Golden Beach ke Miami Beach tenggelam sehingga 7.62 sentimeter antara 2016 hingga 2023.
Beberapa buah bangunan yang tenggelam itu menempatkan puluhan ribu penduduk dan pelancong termasuk Kediaman Ritz-Carlton Residences, Menara Trump III, Trump International Beach Resorts dan Menara Kelab Surf yang ikonik.
Penyelidik-penyelidik berkata, punca utama di sebalik keadaan itu adalah kesan getaran daripada kerja-kerja pembinaan yang boleh menyebabkan zarah tanah menjadi padat dan mendap.
Ia mengakibatkan bangunan-bangunan itu tenggelam secara beransur-ansur.
Penulis kanan kajian tersebut yang juga pakar geofizik Jabatan Marin Geosains Sekolah Rosenstiel di Universiti Miami, Falk Amelung berkata: “Bukan satu kejutan jika bangunan bergerak semasa pembinaan atau sejurus selepas pembinaan kerana ia berat. Jurutera-jurutera mengambil kira perkara itu apabila mereka membinanya,” kata Amelung.
Namun, katanya, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila ia bergerak secara berterusan selama bertahun-tahun selepas kerja-kerja pembinaan selesai dilakukan.
Kumpulan penyelidik tersebut memulakan kajian apabila Menara Champlain runtuh di Surfside, Florida, pada 2021.
Walaupun kumpulan penyelidik tidak mengesan sebarang tanda-tanda tenggelam sebelum kondominium tersebut runtuh, mereka menemui bukti di bangunan-bangunan tepi pantai berhampiran dan sepanjang pantai.
Menggunakan imej satelit untuk menjejaki pergerakan kecil permukaan Bumi, mereka melihat titik tertentu bangunan seperti balkoni dan unit penyaman udara atas bumbung serta mengukur cara ia bergerak dari semasa ke semasa.
Hampir 70 peratus bangunan-bangunan itu tenggelam di utara dan tengah Pantai Sunny Isles, demikian menurut kajian itu.
Sekitar 23 peratus daripada struktur di lokasi itu telah dibina dalam dekad yang lalu. – AGENSI