PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) sah menjadi badan induk kedua digantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada menjadi Ahli Gabungan berkuat kuasa serta-merta semalam.
Sebagai rekod, FAM pada awal bulan ini membuat keputusan untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) atas kesalahan gagal melunaskan hutang tertunggak melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam, FAM mengesahkan Kafa digantung keahlian atas kesalahan tatacara pengendalian Kongres KAFA pada baru-baru ini.
“Penggantungan itu selaras dengan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM (Exco) boleh menggantung keahlian mana-mana ahli disebabkan kesalahan pengendalian kongres secara tidak teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang tidak betul.
“Keputusan penggantungan ini telah dibuat berdasarkan surat FAM bertarikh 21 Disember kepada KAFA iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM berkenaan aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan Kafa Kali Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Kafa bagi sesi 2024-2028.
“Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM ini merupakan satu jawatankuasa ‘adhoc’ yang telah ditubuhkan FAM atas arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM pada mesyuarat yang diadakan pada Khamis, 19 Disember telah memutuskan bahawa kongres tersebut adalah tidak sah dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Ia disebabkan terdapat ahli gabungan turut tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, FAM meminta badan induk bola sepak negeri itu untuk mengadakan semula kongres pemilihan dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, FAM telah mengarahkan supaya KAFA mengadakan semula kongres dan pemilihan tersebut secepat mungkin,” katanya.