PROSES menanam cili merah nampak mudah pada mata kasar, namun untuk menghasilkan cili merah yang mempunyai kualiti terbaik daripada segi warna dan saiz sebenarnya memerlukan ilmu pertanian yang komprehensif.
Menurut laman sesawang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), cili atau nama saintifiknya, Capsicum spp ialah sejenis sayuran berbuah daripada famili Solanaceae.
Ia dipercayai berasal dari Mexico atau Amerika Selatan dan telah ditanam secara meluas di serata dunia terutamanya di kawasan beriklim tropika.
Pendidikan formal untuk menanam cili merah sememangnya telah lama wujud, namun ilmu terbaik untuk menanamnya perlu dipelajari daripada pakar yang berpengalaman.
Untuk mencapai objektif tersebut, pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat dengan peruntukan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah mengadakan Kursus Asas Penanaman Cili Fertigasi di Ladang Ehsan Tani, Kampung Sungai Kelambu, Banting, Selangor baru-baru ini.
Menurut Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah, pihaknya sentiasa bersedia berkongsi kepakaran dengan mana-mana pihak yang berminat belajar menanam cili merah yang bersaiz panjang dan mempunyai warna merah berkilat.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak YBR kerana menaja Kursus Asas Penanaman Cili Fertigasi ini.
“Seramai 50 peserta dari seluruh negara termasuk dari Johor dan Melaka hadir pada program yang diadakan selama dua hari di sini,” katanya selepas merasmikan program tersebut.
Abdul Razak berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan permohonan dibuka dalam kalangan orang ramai.
Katanya lagi, peserta yang hadir berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun membuktikan program tersebut mendapat sambutan kepada rakyat Malaysia yang ingin mencari rezeki sebagai penanam cili.
“Sehubungan dengan itu. saya mengalu-alukan kepada syarikat korporat, badan bukan kerajaan mahu pun pihak yayasan untuk menaja program yang baik seperti ini.
“Program hari ini kosnya hanya RM200 untuk seorang peserta, namun manfaatnya mampu menjana ekonomi golongan seperti B40,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kursus penanaman cili merah tersebut melibatkan kelas penanaman secara fertigasi selain penyenggaraan asas menerusi Internet Benda (IoT).
Jelasnya, pihaknya berharap selepas tamat kursus tersebut, para peserta akan mampu untuk menanam cili di tempat mereka.
“Saya juga menyarankan kepada peserta yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang penanaman cili merah untuk menyertai program ‘on job training’ di ladang satelit kami di Teluk Mengkuang, Teluk Panglima Garang.
“Peserta program diberi tempat tinggal percuma sepanjang mereka menjalani kursus.
“Cuma kos makan ditanggung sendiri,” katanya.
Seorang peserta kursus tersebut, Afiq Mubasyyar Amran, 36, dari Kuala Sungai Baru, Melaka berkata, program tersebut amat bermanfaat untuk dirinya yang mula aktif dalam bidang pertanian sejak empat tahun lalu.
Kursus tersebut katanya, memberi ilmu baharu yang tidak pernah dipelajarinya sebelum ini.
“Sebelum ini saya menanam sayur-sayuran lain selain cili merah dengan pendapatan RM4,000 sebulan.
“Selepas mengikuti kursus tajaan YBR ini, saya yakin untuk menjadikan cili merah sebagai sumber pendapatan baharu untuk menjana ekonomi,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang peserta daripada Ulu Tiram, Johor, Nurul Najihah Mohd. Taam, 30, berkata, program tersebut amat bermanfaat untuk mana-mana pihak menjadi penanam cili secara komersial.
Jelasnya, program tersebut terlalu singkat iaitu hanya dua hari melibatkan pengenalan tentang aspek penanaman cili daripada tahap benih hingga pemantauan tumbesaran.
“Sekurang-kurangnya lima bulan diperlukan untuk menguasai ilmu menanam cili merah yang berkualiti seperti yang dihasilkan ahli peladang di PPK Kuala Langat.
“Masih banyak yang saya belum fahami dan kuasai termasuk IoT, pemasaran dan lain-lain. Mungkin saya menimbangkan untuk menyertai ‘on job training’ tersebut,” katanya.
Untuk rekod, daerah Kuala Langat telah lebih sedekad menjadi antara hab pengeluaran utama cili merah di negara ini.
PPK Kuala Langat juga menerima Anugerah PPK Terbaik sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 baru-baru ini.