WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengusulkan semula rancangan untuk merampas Greenland dari Denmark, menjadikan Kanada sebagai negeri AS dan mengambil semula kawalan ke atas Terusan Panama, lapor akhbar Metro UK semalam.
Selepas menamakan dutanya ke Denmark, Trump menulis di laman sosial: “Bagi tujuan keselamatan dan kebebasan negara di seluruh dunia, Amerika Syarikat merasakan bahawa pemilikan dan kawalan Greenland adalah satu keperluan mutlak.”
Hujung minggu ini, beliau turut mencadangkan bahawa AS akan mengawal Terusan Panama jika kenaikan kos penghantaran di antara Lautan Atlantik dan Pasifik gagal ditangani.
Beliau juga berkata, Kanada boleh menjadi negeri AS yang ke-51 dan merujuk Perdana Menteri Justin Trudeau sebagai ‘gabenor negeri Kanada’.
Trump baru-baru ini menulis di laman sosial bahawa ‘rakyat Kanada mahu negara berkenaan menjadi negeri (AS) ke-51’.
Trudeau kemudian berkata bahawa Trump bergurau tentang rancangan untuk merampas negaranya.
Kedua-dua mereka baru-baru ini bertemu di Florida untuk membincangkan ancaman Trump mengenakan tarif atau cukai import 25 peratus ke atas semua barangan dari Kanada.
Greenland yang merupakan pulau terbesar di dunia, terletak di antara lautan Atlantik dan Artik. Ia mendapat pemerintahan sendiri dari Denmark pada 1979.
Ketua kerajaannya, Mute Bourup Egede berkata, komen terbaharu Trump itu tidak membawa apa-apa maksud, sama seperti yang dibuat dalam penggal pertamanya sebagai Presiden AS. – AGENSI