PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Krismas yang bakal disambut pada esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak terlibat dalam sebarang usaha ke arah menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum di negara ini.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya serta berketerampilan.
Katanya, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.
“Sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.
“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping (coexistence),” katanya.
Anwar turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian.
“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE