fbpx

‘Saya sendiri mula dari kosong’- Erysha Emyra tidak cerewet pilih hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Erysha tidak pernah meletakkan sebarang syarat apatah lagi bersikap cerewet memilih hero gandingannya.

PETALING JAYA – Pelakon meningkat naik Erysha Emyra tidak pernah meletakkan sebarang syarat apatah lagi bersikap cerewet memilih hero gandingannya dalam mana-mana naskhah.

Pemilik nama penuh Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, itu yakin setiap pelakon lelaki yang dipilih oleh pihak produksi untuk digandingkan dengannya pasti mempunyai kelebihan tersendiri.

“Setakat ini saya tidak selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan dengan mana-mana hero.

“Kalau pihak produksi sudah pilih, saya juga perlu letakkan kepercayaan terhadap pelakon tersebut.

“Mungkin pihak produksi nampak kelebihan dan keserasian kami, jadi tidak ada istilah saya memilih hero setakat ini,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Katanya, setiap pelakon layak diberikan peluang untuk digandingkan dengan artis lain selain mampu meraih pengalaman kerja yang berbeza.

Dalam masa sama, anak kepada pelakon Noniswara itu juga sedar bakatnya juga pasti pernah dipersoalkan sebelum ini apabila dipilih menjadi heroin sesebuah naskhah.

“Semua pelakon harus diberi peluang untuk berganding dengan mana-mana hero atau heroin dalam drama.

“Saya sendiri bermula dari ‘zero’ dan pasti pada awalnya ramai mempersoalkan siapa wanita bernama Erysha Emyra yang dipilih menjadi heroin untuk drama?

“Ketika diberi peluang pegang watak heroin sebelum ini, saya juga persoal diri sendiri, layak ke saya sedangkan hanya baru berlakon beberapa drama sahaja,” katanya yang sudah memulakan penggambaran drama Aku Bukan Ustazah 2.

Sebelum ini, nama Erysha meledak selepas menjadi teraju utama drama Aku Bukan Ustazah yang turut dibintangi MK K-Clique dan Zahiril Adzim.

Populariti drama tersebut turut membuatkan dia berjaya memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 pada Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI