TEHRAN – Sebuah pesawat komersial membawa seramai 110 penumpang dan kru wanita sahaja mendarat buat pertama kali di bandar Mashhad, timur laut Iran, lapor laman berita Arab News kelmarin.
Menurut agensi berita rasmi IRNA, penerbangan Aseman Airlines itu diterajui seorang juruterbang wanita, Shahrzad Shams.
Digelar sebagai penerbangan Iran Banoo (wanita Iran), pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hasheminejad di Mashhad iaitu bandar kedua terbesar di Iran.
“Ini kali pertama sebuah penerbangan membawa wanita sahaja termasuk penumpang dan kru mendarat di Mashhad,” kata IRNA tanpa mendedahkan dari mana pesawat itu berlepas.
Perjalanan ke Mashhad itu bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Fatima al-Zahra yang merupakan anak perempuan Nabi Muhammad, demikian menurut IRNA.
Industri penerbangan Iran menyaksikan beberapa wanita dilantik menjadi juruterbang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Oktober 2019, juruterbang, Neshat Jahandari dan pembantu juruterbang, Forouz Firouzi menjadi pasangan wanita pertama menerbangkan pesawat penumpang dalam sejarah Republik Islam Iran. – AGENSI